RUMAH sekunder mampu menjadi aset bernilai tinggi jika bijak memilihnya.
RUMAH sekunder mampu menjadi aset bernilai tinggi jika bijak memilihnya.
Hafiz Ithnin

"KETIKA berlakunya penularan pendemik Covid-19 ini, nampaknya pasaran hartanah lebih berpihak kepada pembeli kerana 'bekalan lebih tinggi daripada permintaan," jelas penganalisis hartanah Dr Azizul Azli Ahmad.

Malah, penganalisis itu juga melihat pembelian kediaman sekunder (sub sale) lebih berbaloi kepada mereka yang kini dalam proses meninjau produk hartanah yang ingin dimiliki.

Dr Azizul berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini, pemilik kediaman mula bertindak menjual kediaman mereka yang mungkin sebelum ini bukan untuk didiami tetapi sewaan.

"Antara kelebihan mereka yang ingin membeli kediaman sekunder ini ialah aset berkenaan sudah siap untuk dilihat secara realiti.

"Berbanding kediaman yang masih dalam proses dibangunkan, ia sememangnya baharu tetapi realiti persekitaran dan keadaan rumah itu sendiri tidak dapat dilihat dengan jelas oleh bakal pembeli," katanya.

Katanya, lebih menarik kediaman sekunder juga membolehkan bakal pembeli melakukan rundingan harga yang mungkin lebih berpihak kepada mereka.

RUMAH sekunder boleh dibeli dengan harga yang berbaloi ketika ini.
RUMAH sekunder boleh dibeli dengan harga yang berbaloi ketika ini.

"Berbanding kediaman baharu, harga yang dijual sudah ditetapkan pihak pemaju dan jika ada pun terdapat rebat dalam bentuk pulangan tunai atau pengurangan harga kepada bakal pembeli. Malah tempoh menunggu ia siap juga memakan masa.

"Jika kediaman sekunder, bakal pembeli boleh berunding harga terus dengan pemilik atau ejen dengan menyatakan bajet mereka dan lebih menarik, sudah terdapat kelengkapan lain di dalam rumah yang tidak perlu lagi melalui proses pengubahsuaian," katanya.

Katanya, walaupun pembelian kediaman sekunder sering kali sinonim dengan aliran tunai yang baik untuk proses pengubahsuaian namun ia sebenarnya boleh dirunding dengan pemilik untuk mendapatkan harga jualan yang lebih menarik.

"Contohnya, jika kita berminat untuk membeli sesebuah kediaman sekunder tetapi keadaan di dalam kediaman itu seperti tandas dan lantai sudah rosak, ia perlu dibaik pulih.

"Kita boleh berunding dengan pemilik sama ada untuk mereka menjual dengan keadaan yang sudah dibaik pulih atau mengurangkan harga jualan kerana sebagai bakal pembeli, kita perlu menambah belanja untuk tujuan itu," katanya.

BUAT penilaian dengan baik sebelum membeli kediaman.
BUAT penilaian dengan baik sebelum membeli kediaman.

Jelasnya, kediaman sekunder biasanya sudah memiliki kemudahan yang matang dan ia memberi nilai tambah kepada bakal pembeli.

"Persekitaran kediaman yang sudah matang umpamanya memudahkan bakal pembeli untuk menguruskan keluarga seperti sekolah, pusat perubatan dan lebuh raya bagi kemudahan pergerakan.

"Berbanding kediaman baharu, persekitaran untuk matang mungkin mengambil sedikit masa untuk dibangunkan dan ia boleh memberi kos tambahan kepada si pemilik menguruskan keluarga apabila mendiaminya," katanya.

Nasihatnya, walaupun setiap produk hartanah mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, perkara paling utama ialah bakal pembeli perlu mempunyai ilmu pemilikan kediaman.

"Jangan bertindak terburu-buru dalam membeli kediaman kerana ia membabitkan pembiayaan jangka masa panjang.

"Pastikan kediaman yang dibeli mampu memberi manfaat bukan sahaja dari segi kewangan, malah keselesaan kepada si pembeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 6:30 AM