KEMUDAHAN kolam untuk kanak-kanak yang sesuai untuk aktiviti riadah keluarga.
KEMUDAHAN kolam untuk kanak-kanak yang sesuai untuk aktiviti riadah keluarga.
Hafiz Ithnin


"Saya bernasib baik kerana lokasi kediaman yang baharu dibeli mempunyai persekitaran yang matang dan permintaan tinggi," katanya kepada penulis.

Pada awalnya pemuda berusia 35 tahun itu bercadang untuk mendiami rumah pertamanya yang dibeli pada 2019 itu. Bagaimanapun, dia menukar rancangan untuk menyewakannya sahaja.

"Ketika sudah mendapat kunci kira-kira awal tahun lalu, saya turut ditawarkan untuk tinggal di kuarters. Memikirkan keadaan ekonomi tidak begitu baik kerana penularan Covid-19, saya mengubah rancangan untuk menyewakan sahaja kediaman saya itu.

"Membayar sewa kuarters tidak begitu mahal dan hasil sewaan kediaman saya itu cukup untuk ansuran bulanan serta yuran penyelenggaraan," kata Fairuz Roslan.

Jelasnya, strategi untuk menyewakan kediaman pertama itu menampakkan hasil yang positif kerana dalam keadaan ekonomi sukar dijangka, dia dapat membuat simpanan dan menguruskan aliran tunai peribadi.

Katanya, kediaman yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan itu mempunyai persekitaran pembangunan yang agak matang terutama terdapat banyak institusi pengajian tinggi.

CIRI balkoni di kediman memberi nilai tambah kepada Fairuz untuk memiliki kediamannya.
CIRI balkoni di kediman memberi nilai tambah kepada Fairuz untuk memiliki kediamannya.

Tambahnya, selain itu, terdapat balai polis dan bomba berdekatan menjadikan kediaman yang dibelinya pada RM215,000 mendapat sambutan daripada orang yang mahu menyewa.

"Sebelum memutuskan untuk membeli kediaman dalam segmen strata berstatus pegangan bebas itu, saya sudah membuat tinjauan kawasan sekelilingnya terlebih dahulu.

"Tambahan, dengan tawaran jualan kediaman mampu milik itu, membuatkan saya memutuskan untuk membelinya kerana ia mempunyai potensi untuk disewakan pada masa depan," katanya.

Fairuz berkata, ketika membeli kediaman itu, dia mengeluarkkan wang akaun dua daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membuat pembayaran deposit 10 peratus.

KEDIAMAN apartment menjadi rumah pertama Fairuz.
KEDIAMAN apartment menjadi rumah pertama Fairuz.

"Selain itu, saya menggunakan wang simpanan peribadi bagi membayar kos pembelian yang lain. Bagi saya pengurusan wang amat penting sebelum memutuskan untuk membeli kediaman.

"Perkara yang paling saya titik beratkan ialah memastikan rekod kewangan saya dalam keadaan baik supaya mudah mendapat pembiayaan daripada pihak bank," katanya.

Jelasnya, dia membuat perancangan selama setahun sebelum membeli kediaman, terutama membaca mengenai strategi pembelian kediaman supaya aset yang dibelinya mampu menguntungkan.

BAHAGIAN dapur diberi keutamaan dalam renovasi.
BAHAGIAN dapur diberi keutamaan dalam renovasi.

"Ketika ini untuk mendapatkan ilmu membeli rumah begitu mudah untuk diperoleh terutama di laman sosial. Jadi, sebagai bakal pembeli, saya kena rajin membaca untuk menimba sebanyak mungkin maklumat.

"Selain itu, saya amat mementingkan lokasi kediaman yang dibeli mempunyai kemudahan yang sedang membangun dan tidak terlalu padat kerana ia mempunyai potensi untuk dijadikan pelaburan," katanya.

Malah dia tertarik dengan kediaman itu kerana tidak terlalu padat dan pihak pemaju memberi dua lot parkir.

"Seperti kita tahu, apabila membeli kediaman apartmen ini, perkara yang sering menjadi masalah pada masa depan ialah kawasan itu akan menjadi padat. Kediaman saya ini hanya mempunyai satu blok sahaja dan tidak padat.

"Selain itu, bagi saya lot parkir amat penting bagi memastikan kita tidak perlu meletakkan kenderaan di luar. Tambahan, kini baki satu lot parkir turut saya sewakan," katanya.

Katanya, dia juga tidak berbelanja besar untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian bagi kediaman bersaiz 1,000 kaki persegi itu.

"Pengubahsuaian hanya di bahagian dapur sahaja kerana ia boleh memberi nilai tambah kepada penyewa yang mempunyai keluarga.

"Jadi, saya hanya mengeluarkan belanja sekitar RM6,000 sahaja bagi membuat kabinet dan pemasangan keperluan asas kediaman seperti lampu dan kipas," katanya.

Nasihatnya, sebagai pembeli rumah pertama, perlu mempunyai perancangan yang teliti bukan sahaja dalam pengurusan aliran tunai tetapi memastikan aset yang dibeli itu mampu dijadikan pelaburan jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 7:00 AM