DATUK Rosdi berkongsi ilmu keusahawanan hartanah kepada ahli KOHAB.
DATUK Rosdi berkongsi ilmu keusahawanan hartanah kepada ahli KOHAB.
Suliati Asri

KOPERASI Hartanah Anggun Berhad (Kohab) bermatlamat untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggotanya mengikut prinsip koperasi di dalam sektor perumahan dan hartanah selain memperkasakan pemilikan hartanah Bumiputera melalui Skim Zero Deposit Plus+.

Berpegang prinsip 'koperasi hak milik bersama', Kohab membuka pelbagai peluang kepada masyarakat terutama golongan muda sekali gus menjadi platform keusahawanan dalam pelbagai bidang terutama hartanah.

Pengerusi Kohab Datuk Rosdi Arifin berkata, sepanjang enam bulan pertama pandemik Covid-19, 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia mencari peluang perniagaan.

Justeru, menurutnya antara peluang perniagaan wujud adalah di dalam koperasi kerana satu perempat penyumbang terbesar kepada ekonomi negara adalah daripada industri koperasi menerusi perladangan, perkilangan dan hartanah.

"Rata-rata hari ini, ramai yang mencari peluang perniagaan tetapi mereka lupa antara peluang yang ada ialah koperasi yang memberi banyak peluang perniagaan.

"Selain itu, dalam koperasi sebenarnya banyak pecahan peluang perniagaan yang cukup meluas dan tidak harus disia-siakan terutama golongan muda," katanya.

Konsep koperasi juga mendidik dan itu antara tanggungjawabnya.

Koperasi juga sebenarnya bukan sahaja menjadi platform tetapi tujuan utamanya adalah untuk bangunkan anggotanya.

Ia juga bukan saja mendapatkan keuntungan tapi keutamaan untuk memberikan keuntungan kepada ahli dan ini yang utama.

Rosdi berkata, setiap ahli akan dididik untuk menjadi usahawan hartanah koperasi dan dalam bidang hartanah ini cabangnya luas.

ROSDI Arifin.
ROSDI Arifin.

Sebagai contoh, ahli bermula jadi ejen jualan perumahan/ unit baru kepada projek pemaju. Mereka akan dididik menjadi penjual.

"Dalam proses penjualan unit atau rumah, mereka akan terdedah kepada cabang hartanah yang lebih besar antaranya boleh beli dan jual tanah lot, berkemampuan untuk meningkatkan diri sebagai pelabur hartanah, beli dan jual hartanah. Sampailah ke peringkat pemaju.

"Kita mempunyai kerjasama yang kuat dengan pemaju yang sentiasa memberi kepercayaan kepada kita untuk berurusan dan menjualkan projek mereka dan ahli kita menjadi ejen jualan.

"Menerusi penjualan hartanah itu, ia bukan dijual kepada orang lain tetapi 100 peratus kepada kakitangan kerajaan dalam kalangan ahli koperasi," katanya.

Mengimbau sejarah dan kehebatan koperasi di negara ini kata Rosdi bagi mewujudkan entiti keusahawanan secara komersial, sesebuah syarikat atau agensi mempunyai had.

Katanya, di Kohab sendiri pembangunannya adalah secara komprehensif dan menetapkan hiraki yang terbahagi kepada dua iaitu pelabur dan usahawan hartanah koperasi.

"Bagi usahawan hartanah, mereka ini perlu mengikuti kursus dan kita mendidik mereka sebagai usahawan bermula dengan menjual rumah pemaju.

"Bila sudah mencapai kriteria tertentu, mereka akan dinaikkan sebagai Ketua Pegawai Operasi di bawah agensi masing-masing seterusnya membuka syarikat sendiri.

"Peringkat tertinggi adalah usahawan ini boleh menjadi pemaju," katanya.

Sebagai rekod, Kohab memiliki 3,800 ahli dan sebahagian daripadanya aktif sebagai usahawan.

Selain itu, ramai di kalangan ahli Kohab yang mendaftar tiga tahun lalu juga sudah menjadi rakan kongsi dalam syarikat ini.

Bukan itu saja, koperasi ini juga berjaya menubuhkan 30 syarikat Sdn Bhd dan sebahagiannya adalah milik ahli Kohab.

"Ini satu kejayaan yang boleh dibanggakan kerana tidak semua orang mampu mempunyai syarikat sendiri tanpa kekuatan tertentu.

"Namun, pertubuhan koperasi membuktikan ia mempunyai kekuatan tersendiri. Bagaimanapun, kita perlu membawanya dengan cara yang betul dan lihat kepada matlamat perniagaan itu sendiri," tambahnya.

Menyentuh soal keuntungan kata Rosdi, keuntungan ini sangat subjektif tetapi kita lebih kepada manfaat yang diterima ahli yang juga usahawan hartanah Kohab.

"Koperasi adalah milik bersama. Milik ahli. Jadi dikalangan ahli yang berkelayakan, mereka kena berjuang untuk ke arah melatih sesama ahli kita.

"Kita juga dahulukan perniagaan ahli sampai mereka ada pendapatan. Kalau keuntungan koperasi sudah diaudit dan kita layak berikan dividen atau memang ada keuntungan, kita kembalikan kepada ahli sebagai dividen," katanya.

Menyedari keadaan ekonomi yang baru saja mula pulih selepas pandemik, jaminan antara yang dititikberatkan ramai masyarakat terutama yang sedang mencari peluang perniagaan.

Rosdi berkata pihaknya mempunyai strategi tersendiri terutama dalam keadaan pandemik untuk membantu masyarakat di luar sana.

"Bagi mereka yang mempunyai tanah sama diwarisi atau milik sendiri, kita cuba menjadi bank tanah ataupun pengumpul tanah dan dalam masa yang sama akan membangunkan tanah-tanah itu.

"Jadi, bagi pemilik tanah yang tidak tahu bagaimana untuk memajukan tanah sebagai pelaburan terbaik, mereka boleh datang kepada KOHAB dan kita bangunkan tanah itu. Ini juga antara tanggungjawab KOHAB.

"Bagi mereka mempunyai masalah pembahagian tanah pusaka, kita juga boleh selesaikan masalah itu dengan membangunkan tanah terbabit. Keuntungan yang diperoleh boleh diagihkan sama rata kepada pewaris sekali gus menyelesaikan permasalahan yang dihadapi," katanya.

Jaminan itu juga dikuatkan dengan kepercayaan dari pemaju luar yang bertaraf besar, sederhana dan kecil untuk mengurus lebih daripada 80 projek seluruh Malaysia ditambah tujuh projek daripadanya KOHAB sendiri sebagai pemaju perumahan.

Antara projek terkini KOHAB adalah di Kalumpang, Hulu Selangor. Ia adalah antara projek terbesar yang terdiri daripada 415 unit dengan nilai keseluruhan hampir RM200 juta.

Menjadi antara pengerusi koperasi dari golongan muda, Rosdi berharap dia dapat menyemarakkan lagi industri koperasi ini dengan lebih baik dan dapat menarik lebih ramai anak muda khususnya yang berusia di bawah 40 tahun menjadi ahli koperasi sekali gus manfaat apa saja peluang yang tersedia.

"Di KOHAB cabang perniagaan kita adalah hartanah. Jadi, ia terbuka dan sesiapa saja boleh menyertainya.

"Apabila sudah menjadi ahli, ambillah segala peluang dan kebaikan yang ada di KOHAB ini sama ada pembangunan atau keusahawanan ataupun hanya mengharapkan dividen setiap tahun," katanya.

Dari segi Modal pula, menjadi usahawan hartanah KOHAB hanya memerlukan modal RM200 iaitu untuk yuran keahlian dan seminar. Ia adalah modal paling rendah di dunia untuk menjadi ejen hartanah, kata Rosdi.

"Kita memberikan modal yang rendah kerana kita mempunyai kekuatan dalam menjalankan latihan, bimbingan dan seminar serta lebih lebih kepada ingin membangunkan ekonomi ahli," katanya.

Untuk makluman, kata Rosdi KOHAB pada 2019

"Dari segi koperasi, kita berbangga kerana KOHAB koperasi yang melahirkan pendapatan kepada ahlinya secara serius dan ia jarang berlaku sebab kebanyakan koperasi berikan dividen.

"Terima kasih diucapkan kepada ahli kerana mereka membantu sesama ahli. Kalau tiada konsep itu, koperasi susah nak membangun dengan baik dan inilah matlamat serta prinsip berkoperasi yang disarankan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 6:30 AM