PEMBELI perlu meninjau sendiri status dan kedudukan tanah dari Majlis Daerah atau Perbandaran kawasan itu. - FOTO Google
PEMBELI perlu meninjau sendiri status dan kedudukan tanah dari Majlis Daerah atau Perbandaran kawasan itu. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


DALAM pemilikan kediaman, terdapat pelbagai kaedah boleh dilakukan antaranya membeli hartanah lelong atau kediaman siap yang ditawarkan pemaju.

Lagi satu kaedah ialah pembelian tanah lot yang kemudiannya membina stuktur rumah atau kediaman mengikut cita rasa dan kemampuan pemilik.

Dalam kaedah pembelian tanah lot bagi kediaman sebenarnya mudah, namun cabarannya ialah perlu ada kekuatan kewangan dan aliran tunai yang besar disebabkan harga tanah itu sendiri cukup tinggi nilainya.

Kawasan pinggiran Kuala Lumpur dan Selangor ketika ini nilai tanahnya cukup mahal dan ia dipengaruhi projek pembangunan sesuatu kawasan itu yang dibangunkan pemaju tersohor.

Justeru, pembelian menerusi pemaju biasanya kos terlalu tinggi dan atas faktor berkenaan ramai pembeli mengimpikan rumah atas tanah mencari 'broker' kampung selain merujuk kepada iklan jualan lot tanah di sekitar kawasan tertentu.

Menurut Ejen Hartanah Berdaftar Maxxan Realty Shukri Zohari, tindakan pembeli hartanah itu sebenarnya mendedahkan mereka kepada risiko ditipu atau memiliki lot tidak sesuai didirikan kediaman.

"Dalam pembelian tanah lot sebenarnya urusan membeli tanah itu mudah. Tanah lot boleh diperiksa berdasarkan nombor geran di Pejabat Tanah dan Daerah masing-masing untuk mengetahui status tanah sebelum dibeli.

"Mereka tidak boleh beli lot berdasarkan tawaran 'broker' semata-mata atau iklan penjual tanah lot kerana pelbagai faktor perlu diteliti oleh pembeli sendiri sebelum membuat pembelian," katanya.

Kata Shukri, mengenai tanah lot masih relevan di Kuala Lumpur dan Selangor, ketika ini kawasan pinggiran bandar masih terdapat segelintir pihak menawarkan jualan tanah lot bagi kediaman.

PEMBELI berkemampuan mencari tanah lot untuk membina kediaman lebih selesa. - FOTO Google
PEMBELI berkemampuan mencari tanah lot untuk membina kediaman lebih selesa. - FOTO Google

"Kalau Kuala Lumpur dan Selangor, biasanya kawasan pinggiran seperti kawasan Dengkil iaitu Salak Tinggi dan Cyberjaya, mahupun di Sungai Buloh atau Hulu Langat masih ada syarikat atau orang perseorangan menawarkan tanah lot untuk kediaman.

"Biasanya keluasan tanah ditawarkan sekitar 12.2 x 18.3 meter adalah selesa untuk mendirikan rumah jenis banglo atau semi D. Anggaran harga ketika ini sekitar RM150 hingga RM 300 sekaki dan nilai itu boleh menjadi lebih mahal untuk kawasan tumpuan penduduk atau berdekatan ibu kota," katanya.

Tambah Shukri lagi, bagi peminat kediaman berlaman atau berhasrat membeli tanah lot, mereka perlu teliti beberapa aspek antaranya perancangan bandar, penilaian hartanah pihak bank, status tanah selain saiz dan kedudukan petak lot.

"Perancangan bandar sesuatu kawasan itu penting dan jarang pembeli kediaman atau hartanah membuat kajian setempat ini.

"Sedangkan kalau mereka pergi ke Majlis Bandaran atau Majlis Daerah, mereka boleh tengok sendiri perancangan kawasan terbabit 10 hingga 20 tahun akan datang. Jadi, di situ mereka sudah boleh anggarkan sasaran lokasi tanah boleh dibeli.

"Mana tahu ada rezeki, tanah dibeli terbabit dalam kawasan ingin dimajukan tiga pemain besar dalam industri pembinaan. Jadi, nilai hartanah boleh melonjak naik," katanya.

Kata Shukri lagi, kaedah lain boleh dijadikan rujukan baik dan selamat dalam pembelian tanah tertentu, penilaian bank boleh membantu mendapat nilai tepat mengenai tanah ingin dibeli.

"Biasanya apabila membeli tanah seperti rumah, bank mempunyai kredibiliti melantik jurunilai untuk menilai hartanah tertentu.

"Ini kerana apabila mereka memberi pinjaman perlu pastikan ia berisiko rendah, jadi bank bergantung kepada nilai cagaran atau anggaran nilai tanah boleh dijual pada harga pasaran dalam tempoh tertentu.

"Oleh sebab itu juga pinjaman rumah tidak ditawarkan untuk tanah lot yang geran kongsi atau mereka perlu mengambil risiko iaitu pinjaman peribadi lebih tinggi faedahnya," katanya.

Sementara itu, mengenai kedudukan dan saiz petak juga perlu ditinjau pembeli, kata Shukri, itu penting dalam mengelak isu berkait dengan tanah dibeli tadi termasuk dalam rezab jalan sehingga menjejaskan ruang membina kediaman.

LOT tanah siap dengan fasiliti lebih mahal. - FOTO Google
LOT tanah siap dengan fasiliti lebih mahal. - FOTO Google

"Melihat geran sahaja tidak cukup kerana ada kala aspek yang kurang jelas seperti persempadanan rezab jalan, sistem saliran dan infra lain tidak dinyatakan terperinci.

"Pernah ada satu kes membabitkan pembeli apabila lot dibeli tidak sesuai untuk pembinaan rumah. Apabila jalan pembangunan infra, ada sebahagian ruang rumah bertembung dengan kedudukan aliran air membuatkan tidak sesuai didirikan struktur.

"Keluasan rumah tadi terjejas dan menjadi lebih kecil dan sempit berbanding dengan keluasan sebenar tanah yang dibeli," katanya.

Mengenai kos luar jangka, kata Shukri dalam pembelian lot tanah, ia bergantung kepada jenis dan status tanah.

"Sebenarnya bagi tanah lot, jenis tanah dan status tanah itu menentukan nilai perlu dibelanjakan pemiliknya.

"Contohnya tanah lot di cerun bukit boleh jadi lebih mahal ketika proses pembinaan kerana adanya kerja asas menguatkan struktur perlu dilakukan.

"Bagi tanah lot yang dulunya tanah pertanian untuk tukar status juga perlukan caj tertentu. Andai tanah itu pula jenis tanahnya ialah tanah gambut dari ladang sawit, memang kerja tambakan dan membaiki stuktur termasuk aliran air penting memastikan asas pembinaan rumah lebih kukuh,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 7:00 AM