MELAKUKAN proses ubah suai untuk menjadikan banglo itu sebagai rumah inap desa.
MELAKUKAN proses ubah suai untuk menjadikan banglo itu sebagai rumah inap desa.
RUMAH banglo enam bilik yang berjaya dibeli di bawah harga pasaran oleh Radin Azam dan isteri.
RUMAH banglo enam bilik yang berjaya dibeli di bawah harga pasaran oleh Radin Azam dan isteri.
RADIN AZAM dan keluarga memiliki tiga rumah yang dibeli secara lelong.
RADIN AZAM dan keluarga memiliki tiga rumah yang dibeli secara lelong.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


KUALA LUMPUR: Rumah lelong yang jauh lebih murah daripada harga pasaran turut mendorong bekas jurutera, Radin Azam Osman, 36, membeli kediaman jenis berkenaan untuk pelaburan.

Menurut Radin Azam, sehingga kini dia memiliki tiga kediaman yang dibeli secara lelongan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Petaling Jaya, Selangor dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Katanya, rumah pertama dibeli pada 2014 ketika dia masih belum berumah tangga.

"Rumah kluster dua tingkat, dua bilik yang terletak di Taman Penanti itu berjaya dibeli dengan harga RM65,000 pada lelongan yang diadakan di Pejabat Tanah Bukit Mertajam.

"Selain faktor harga, rumah itu menjadi pilihan kerana lokasinya yang terletak berdekatan dengan rumah ibu bapa saya.

"Saya menghabiskan kira-kira RM30,000 untuk proses ubah suai dan dekorasi, ia bukan untuk diduduki tetapi disewakan sebagai rumah inap desa," katanya kepada Harian Metro.

Kata pemilik Homestay Bukit Mertajam By Radazos itu lagi, pada 2017 dia membeli sebuah lagi rumah lelong berharga RM85,000 yang terletak di Petaling Jaya.

Katanya, kediaman jenis pangsapuri kos rendah itu dibeli menerusi acara lelongan di pejabat pelelong dan disewakan kepada penyewa yang sama.

"Tahun lalu, saya dan isteri, Dr Nur Amalina Mohamad Zaki memperoleh rezeki terpijak apabila berjaya membeli sebuah rumah banglo enam bilik di Gong Badak, Kuala Terengganu pada harga RM270,000 pada acara lelongan di mahkamah.

"Ia adalah rezeki anak-anak kerana nilai pasaran rumah seluas 3,000 kaki persegi itu ketika ini RM400,000.

RUMAH kluster dua tingkat yang diubah suai dan kini dijadikan sebagai rumah inap.
RUMAH kluster dua tingkat yang diubah suai dan kini dijadikan sebagai rumah inap.

"Selepas mendapat kunci, kami melakukan proses pengubahsuaian kerana mahu menjadikan ia sebagai rumah inap desa dan insya-Allah, akan siap tidak lama lagi untuk dibuka kepada orang ramai," katanya.

Bapa kepada dua anak lelaki itu berkata, dia bersyukur kerana tidak berdepan dengan masalah besar ketika membeli tiga rumah lelong berkenaan.

Katanya,, pemilik asal bekerjasama dan tidak menimbulkan masalah untuk keluar dari kediaman berkenaan.

"Membeli rumah lelong bukan boleh dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya perlu mendapat maklumat yang berkaitan secukupnya.

"Selain itu, rumah yang ingin dibida juga perlu sesuai dengan tujuan pembelian sama ada untuk tinggal sendiri, disewakan atau tujuan pelaburan lain.

Apapun, masyarakat perlu buang persepsi bahawa rumah lelong semua dalam keadaan teruk kerana terdapat banyak hartanah yang terjaga elok oleh pemilik asal," katanya.

DEKORASI dan pengubahsuaian yang memakan kos RM30,000.
DEKORASI dan pengubahsuaian yang memakan kos RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 8:32 AM