PEMILIK hanya dimaklumkan mengenai risiko diawal langganan polisi oleh ejen menyebabkan mereka kurang faham.
PEMILIK hanya dimaklumkan mengenai risiko diawal langganan polisi oleh ejen menyebabkan mereka kurang faham.
Nurul Husna Mahmud

Musibah seperti bencana alam dan kebakaran antara perkara di luar kawalan yang menyebabkan kemusnahan harta benda termasuk kediaman.

Biasanya dalam kes terburuk pemilik akan kehilangan semua harta benda dalam kediaman atau lebih dikenali sebagai 'total lost' yang mana melayakkan mereka menerima pampasan andai memiliki polisi perlindungan kediaman.

Namun nilai pampasan bergantung kepada jenis perlindungan atau premium yang dilanggan pemilik dan biasanya tidak ramai arif dengan terma insurans rumah masing-masing.

Menurut Ketua Jabatan Kewangan dan Perbankan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya Profesor Madya Dr Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan, sikap tidak endah pemilik kediaman atau bangunan dalam meneliti insurans hartanah itu membuatkan mereka tidak memahami keperluan skim perlindungan berkenaan.

"Pada pendapat saya, tidak ramai pemilik insurans kediaman yang benar-benar memahami perlindungan diliputi polisi mereka.

"Dalam erti kata lain, mereka tidak memahami risiko yang dilindungi polisi kediaman mereka.

BANJIR tidak dilindungi bawah insurans kebakaran.
BANJIR tidak dilindungi bawah insurans kebakaran.

"Terdapat juga jenis risiko yang dikecualikan syarikat insurans. Contohnya, polisi empunya rumah yang standard tidak melindungi tanah runtuh (yang diakibatkan hujan lebat) dan juga kerosakan berpunca daripada penganiayaan manusia seperti rusuhan, mogok atau niat jahat.

"Manakala sekiranya seseorang hanya membeli insurans kebakaran yang asas, maka kerugian diakibatkan banjir tidak akan dilindungi.

"Oleh itu, kadang-kadang pemegang polisi mempunyai tanggapan salah mengenai risiko yang dilindungi termasuk mengalami rasa kecewa seolah-olah ditipu apabila syarikat insurans tidak membayar pampasan bagi kerosakan atau kemusnahan berkenaan," katanya.

Tambah Dr Nurul Shahnaz, biasanya pemilik hanya dimaklumkan atau diterangkan mengenai risiko diawal langganan polisi oleh ejen menyebabkan mereka kurang faham atau lupa mengenai risiko yang dilindungi polisi.

"Pengetahuan pemilik rumah terhad berkenaan polisi disebabkan kontrak atau terma terlalu teknikal dan sukar difahami orang biasa.

TANAH runtuh antara tidak dilindungi bagi pelindungan rumah standard.
TANAH runtuh antara tidak dilindungi bagi pelindungan rumah standard.

"Selain tidak memahami risiko, isu lain yang pemilik kediaman terlepas pandang ialah tidak melindungi hartanah dengan nilai total semasa. Apabila pemilik melanggan insurans pada kadar lebih rendah daripada nilai rumah, ia turut menjejaskan jumlah pampasan dituntut.

"Sebagai contoh rumah bernilai RM300,000 tetapi nilai diinsuranskan pada kadar RM200,000. Kiraan anggaran pampasan ialah purata kerugian akan didarab dengan kadar yang diinsuranskan lebih rendah daripada kerugian ditanggung pemilik," katanya.

Dalam pada itu terdapat juga segelintir pemilik rumah atau bangunan culas membayar premium menyebabkan mereka mudah terdedah dengan risiko kerugian akibat kemusnahan harta benda.

"Ada juga pemilik tidak melindungi bangunan mereka dengan sengaja atau tidak sengaja. Dalam isu tidak mahu melanggan premium, pemilik berasakan proses tuntutan terlalu rumit. Ada juga tidak ditawarkan kerana jenis bangunan atau rumah berisiko tinggi iaitu material mudah terbakar atau dibina di kawasan lereng bukit dan tebing sungai," katanya.

Isu yang tidak sengaja kata Dr Nurul Shahnaz, pemegang polisi tidak memperbaharui polisi dan kes ini biasanya terjadi membabitkan pemilik yang sudah melangsaikan pembayaran pinjaman perumahan.

Kalau sebelum ini komitmen dengan bank dan pihak bank mewajibkan pemilik rumah melunaskan polisi perlindungan mereka.

Dalam memastikan mendapat manfaat perlindungan kediaman, Dr Nurul Shahnaz menyifatkan pemilik bangunan atau kediaman perlu lakukan inisiatif melindungi kediaman mereka itu sendiri.

"Bangunan yang didiami perlulah selamat didiami dan mempunyai Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan atau dalam bahasa Inggerisnya Certificate of Completion and Compliance (CCC) adalah ganti kepada Sijil Layak Menduduki (CFO) yang mana digunakan sebelum ini.

"Untuk premis perniagaan perlu ada ciri-ciri keselamatan yang akan dapat mengurangkan kerugian seperti sistem penggera kebakaran dan sistem keselamatan yang sesuai seperti kunci, gril serta kamera litar tertutup (CCTV) untuk melindungi kerugian akibat pecah rumah untuk polisi isi kandungan rumah atau premis perniagaan.

"Dengan adanya ciri-ciri keselamatan ini, premium yang perlu dibayar mungkin akan lebih rendah berbanding premium akan dikenakan tanpa ciri-ciri keselamatan ini," katanya.

Saranan beliau juga supaya mengkaji perlindungan dan jenis premium bersesuaian dengan keperluan serta kemampuan pemilik kediaman.

Paling penting pastikan nilai diliputi polisi adalah nilai semasa supaya tuntutan munasabah dapat dibuat andainya berlaku insiden pada harta benda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 6:10 AM