PROJEK KITA Mekar dari LBS mendapat sambutan memberangsangkan.
PROJEK KITA Mekar dari LBS mendapat sambutan memberangsangkan.
Hafiz Ithnin


KITA Mekar, projek pembangunan kediaman setingkat pertama LBS Bina Group Bhd di perbandaran Cybersouth menerima sambutan luar biasa apabila semua unit habis dijual dalam tempoh dua minggu selepas dilancarkan.

Sementara itu, rumah bandar KITA Mekar pula menerima 100 peratus tempahan dengan lebih ramai pembeli berada dalam senarai menunggu bagi merebut projek ini.

Sejak pelancarannya pada April tahun lalu, Perbandaran KITA @ Cybersouth, sebuah projek kediaman berpagar dan berpengawal yang terletak di tanah rizab Melayu terbukti menjadi sebuah perbandaran yang mendapat sambutan hangat dengan kadar pengambilan unit tertinggi bermula dari fasa pertama hingga fasa terbaharu.

Baru-baru ini, LBS dengan rasminya melancarkan kediaman setingkat dan rumah bandar KITA Mekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM345.1 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San berkata, pembangunan Perbandaran KITA @ Cybersouth sudah dirancang dengan teliti untuk keluarga dan masyarakat bagi membina kenangan yang berkekalan.

"Pemilihan kemudahan di sekitar KITA Mekar turut dirancang untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dan meningkatkan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk," katanya.

Pihaknya juga percaya bahawa permintaan untuk hartanah akan terus meningkat dan projek itu dapat memberi manfaat kepada bakal pembeli dengan nilai harga berpatutan serta pelaburan pada jangka panjang.

BATIK Gazebo yang unik.
BATIK Gazebo yang unik.

"LBS juga menerima kadar pengambilan yang tinggi bagi rumah dua tingkat, rumah bandar dan pangsapuri perkhidmatan yang ditawarkan. Kedua-dua fasa KITA Bayu dan KITA Impian sudah habis dijual," katanya.

Manakala rumah teres dua tingkat KITA Harmoni memiliki kadar pengambilan 97 peratus, sementara pangsapuri servis KITA Ria memperoleh penjualan 85 peratus.

Tambahnya, perkara itu menunjukkan bahawa produk yang tepat dengan harga berpatutan serta hubungan dan jaringan yang baik adalah penting untuk menembusi pasaran.

Lim berkata, sebagai Pemaju Perumahan Rakyat, LBS terus komited untuk menyediakan projek berkualiti yang memenuhi permintaan pembeli pada harga berpatutan.

Katanya, LBS kekal fokus terhadap tiga tunggak utama iaitu mampu dimiliki, 'saling hubungan' dan komuniti dalam setiap perbandarannya.

KALARAI Playground mengambil ilham daripada kraftangan tempatan.
KALARAI Playground mengambil ilham daripada kraftangan tempatan.

"Reka bentuk yang praktikal, susun atur berbeza, fasiliti dan kemudahan yang ditawarkan sudah dirancang dengan teliti supaya menepati keinginan pembeli.

"KITA Mekar adalah pilihan yang terbaik dan ideal buat keluarga yang mengimpikan keselesaan," katanya.

Malah, KITA Mekar merangkumi 432 rumah bandar, 388 rumah dua tingkat dan 342 rumah setingkat. Menerusi saiz binaan 1,346 kaki persegi dan 1,483 kaki persegi, rumah bandar menawarkan harga berpatutan bermula dari RM419,900 berkeluasan (22'x75') dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.

Manakala rumah dua tingkat bermula dari RM560,000 dengan saiz binaan 1,447 kaki persegi (20'x60') menawarkan ruang yang praktikal dengan empat bilik tidur dan tiga bilik mandi.

Bagi rumah setingkat pula, ia menawarkan harga bermula daripada RM450,000 dengan saiz binaan 1,094 kaki persegi (20'x70').

Dikelilingi dalam kawasan yang menenangkan, zon hijau di KITA Mekar dilengkapi kombinasi laman kecil dan pelbagai fasiliti turut disediakan.

"Zon ini memberi ruang kepada keluarga untuk mencipta idea dan mengikut cita rasa yang tersendiri di samping menerapkan semangat kekitaan dalam kalangan ahli keluarga.

"Fasiliti di kawasan KITA Mekar direka khas dengan sentuhan istimewa berkonsepkan budaya tradisional masyarakat Melayu," katanya.

LALUAN riadah yang turut mengambil ilham daripada kraftangan tempatan.
LALUAN riadah yang turut mengambil ilham daripada kraftangan tempatan.

Elemen seperti Anjung Kelarai dan Teratak Songket dibina sebagai salah satu reka bentuk landskap untuk mengimbas kembali nostalgia lama.

Bagi mengenang suasana itu, permainan tradisional seperti galah panjang, peluk tiang dan sorok-sorok turut tersenarai dalam fasiliti yang ditawarkan.

Aktiviti rekreasi berkonsep moden seperti 'wall climbing,' futsal, badminton dan gelanggang sepak takraw bagi peminat sukan juga disediakan.

Terletak di lokasi yang strategik antara Putrajaya dan Cyberjaya, KITA @ Cybersouth berdekatan pelbagai kemudahan awam seperti hab komersial, institusi kewangan, pusat pentadbiran kerajaan, lapangan terbang antarabangsa, institusi perubatan dan kesihatan serta pelbagai kemudahan lain yang sedia ada.

Ia juga terletak berhampiran sekolah dan institusi pengajian tinggi tempatan serta antarabangsa seperti Sekolah Kebangsaan Dengkil, Sekolah Menengah Kebangsaan Cyberjaya, Heriot-Watt University Malaysia, Universiti Limkokwing dan Universiti Xiamen.

Kemudahan yang lengkap ini, sekali gus bakal memberi manfaat kepada penduduk untuk mengurus dan merancang kehidupan mereka dengan lebih sempurna.

Akses melalui lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya melalui Lebuhraya Elite, Lebuhraya MAJU (MEX), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Jalan Dengkil-Banting.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 6:30 AM