TERDAPAT beberapa projek perumahan terjejas untuk elak merebaknya wabak dalam kalangan pekerja.
TERDAPAT beberapa projek perumahan terjejas untuk elak merebaknya wabak dalam kalangan pekerja.
Muhamaad Razis Ismail

Inisiatif kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan memperkenalkan beberapa insentif cukai bagi merancakkan semula pasaran hartanah tempatan termasuk memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah.

Langkah ini diakui pemain industri yang melihat pasaran hartanah dijangka terus berkembang selepas beberapa bulan berdepan saat getir.

Bagaimanapun, siapa sangka, gelombang Covid-19 kembali menghantui negara apabila mencatatkan peningkatan jumlah kes mendadak sejak September lalu.

Lebih menggerunkan untuk pertama kali, negara mencatat rekod kes baharu tertinggi sehingga empat angka.

Untuk membendung penularan yang lebih meluas, kerajaan kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya

Bukan itu sahaja, Sabah turut mengalami nasib sama apabila merekodkan kes tertinggi setakat ini.

Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berpandangan situasi ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pasaran hartanah.

GELOMBANG baharu pandemik Covid-19 memberi kesan kepada sektor hartanah.
GELOMBANG baharu pandemik Covid-19 memberi kesan kepada sektor hartanah.

Katanya, sebelum ini PENJANA dilihat memberi sinar baharu kepada pasaran hartanah yang berdepan situasi mencabar selepas PKP dilaksanakan pada Mac lalu.

"Saya melihat PENJANA yang ditawarkan kepada rakyat sekarang ini memberi peluang kepada mereka memiliki hartanah dengan pelbagai manfaat pengecualian cukai duti setem, tiada cukai keuntungan harga tanah dan kadar faedah yang diturunkan di bawah empat peratus.

"Bagaimanapun gelombang baharu Covid-19 ini menimbulkan keraguan kalangan pengguna adakah akan berlaku PKP kali kedua,?" katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, selepas gelombang pertama negara dilanda Covid-19, pasaran hartanah turun mendadak sebelum ia dilihat kembali naik apabila beberapa kelonggaran diberikan kerajaan berikutan jumlah kes yang semakin menurun.

BEKERJA dari rumah memberi kesan kepada hartanah komersial.
BEKERJA dari rumah memberi kesan kepada hartanah komersial.

"Pada hujung September lalu, dengan peningkatan kes, saya nampak rakyat umumnya bimbang kesan Covid-19 menyebabkan mereka tidak boleh bekerja dan selepas moratorium berakhir, apakah mereka bebas melakukan kegiatan ekonomi.

"Selain itu, ketidaktentuan politik turut memberi impak kepada pengguna terutama golongan muda yang mengambil sikap tunggu dan lihat," katanya.

Jelasnya, terdapat pemaju yang membuat tawaran menarik melalui Kempen Pemilikan Rumah secara maya namun tidak mendapat sambutan kerana persepsi dan kebimbangan pengguna.

"Situasi ini sedikit sebanyak akan menjejaskan kerancakan transaksi di dalam hartanah ini.

"Satu lagi aspek yang kita tidak boleh nafikan dan saya boleh jangkakan PKPB di Lembah Klang ini yang menjadi tumpuan ekonomi di seluruh negara, akan memberi impak kepada kawasan lain," katanya.

Tambahnya, pemain hartanah pasaran utama membabitkan rumah baharu agak terkesan biarpun banyak melakukan promosi secara maya secara besar-besaran.

"Masih ada dalam kalangan pengguna yang masih membeli hartanah tapi disebabkan ketidaktentuan, ia sebenarnya memberi kesan kepada perancangan pemain pasaran utama.

"Bagaimanapun saya lihat pasaran hartanah sekunder yang membentuk 70 hingga 80 peratus transaksi dalam pasaran berjalan dengan baik kerana ada tawaran daripada penjual terdesak antara 30 hingga 40 peratus." katanya.

MASA sesuai untuk miliki hartanah.
MASA sesuai untuk miliki hartanah.

Katanya, pada masa sama, kerancakan projek baharu sedikit terjejas dan terganggu kerana PKPB yang membataskan aktiviti di tapak pembinaan.

"Malah ada kalangan yang menghentikan projek untuk elak penularan jangkitan ini.

"Pameran hartanah oleh pemaju juga kurang dapat sambutan apabila orang ramai bimbang untuk keluar sekali gus merencatkan sedikit aktiviti jualan," katanya.

Justeru itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan menawarkan satu lagi pakej rangsangan terutama kepada sektor terjejas untuk mengembalikan momentum ekonomi.

"Hartanah ini ada kaitan dengan sentimen dan rakyat mahu lihat pandemik ini segera berakhir. Ia boleh diredakan dengan membawa vaksin.

"Saya turut berharap untuk bajet yang akan diumumkan nanti, kerajaan boleh ambil keputusan untuk hapuskan Cukai Keuntungan Harga Tanah untuk merancakkan pasaran hartanah dalam keadaan mencabar ini untuk jangka masa panjang," katanya.

Ditanya sama ada kesesuaian memiliki hartanah dalam situasi ini, Ishak berpendapat, pengguna perlu manfaatkan peluang ini untuk memiliki dan membuat pelaburan.

"Kita boleh dapat hartanah dengan harga yang cukup baik kerana pemaju mahu jual dengan cepat supaya aliran tunai tidak terjejas.

"Selain itu boleh buat pembelian rumah dengan kaedah baharu iaitu sewa untuk miliki sekiranya tidak mampu beli secara konvensional. Kini kerajaan dan banyak pemaju menawarkan skim sewa untuk miliki atau lebih dikenali sebagai 'rent to own' dengan menyewa untuk beberapa tahun sebelum beli kediaman itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 6:00 AM