Rudi selesai proses peroleh pinjaman perumahan hanya dalam tiga bulan
Rudi selesai proses peroleh pinjaman perumahan hanya dalam tiga bulan
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MEMILIKI kediaman luas serba mewah menjadi idaman setiap insan namun suka atau tidak, kita perlu realistik serta sedar kemampuan kewangan sendiri.

Bagi Rudi Hasnan, 30, dia tidak memilih untuk membeli rumah pertama kerana sedar pendapatan bulanannya tidak sebesar mana selain perlu mengukur baju di badan sendiri.

Juruteknik awam sebuah badan berkanun di Johor Bahru, Johor itu membeli pangsapuri seluas 850 kaki persegi sebagai rumah pertama kerana ia sesuai dengan kemampuannya.

Kata Rudi, sebaik sahaja mendapat tahu mengenai projek perumahan oleh kerajaan itu daripada rakan, dia segera memohon.

Ini kerana dia tertarik dengan lokasi rumah yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air itu yang terletak berhampiran tempat kerja selain hanya berharga RM99,000.

"Perumahan itu juga adalah projek di bawah Skim MyHome dan turut diberikan rebat sebanyak RM30,000.

"Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya dan sebaik sahaja menerima surat tawaran pada 2017, saya segera mencari peguam menguruskan perjanjian jual beli dan kemudian mendapatkan pinjaman bank," katanya.

BAGAIKAN rumah mewah.
BAGAIKAN rumah mewah.

RUANG makan yang selesa.
RUANG makan yang selesa.

Menurut Rudi, proses mendapatkan pinjaman dan semua kelulusan selesai dalam tempoh tiga bulan sahaja.

"Saya beruntung kerana tidak memiliki komitmen dengan bank lain dan ia turut menjadi faktor memudahkan pinjaman diluluskan.

"Jika sudah banyak komitmen lain, pasti pinjaman sukar diluluskan meskipun jumlah pinjaman tidak sebanyak mana," katanya.

Biarpun kunci rumah diperoleh sejak Ogos 2018 namun hanya pada awal tahun lalu dia menduduki kediaman terbabit.

Kata Rudi, dia tidak mahu tergesa-gesa menduduki rumah itu kerana mahu melakukan pengubahsuaian terlebih dahulu.

"Kerja pengubahsuaian semua dilakukan sendiri sedikit demi sedikit dengan kemahiran yang ada.

"Selain itu, barangan kelengkapan rumah juga dibeli sedikit demi sedikit kerana bajet terhad.

"Apapun saya berpuas hati dapat menghias rumah ini seperti yang dimahukan dan tidak perlu berhutang untuk mendapatkan barangan rumah," katanya.

DEKORASI hasil kreativiti Rudi sendiri.
DEKORASI hasil kreativiti Rudi sendiri.

Dalam pada itu, Rudi berkata, golongan muda terutama lelaki sepatutnya tidak perlu bertangguh dalam membeli aset untuk masa depan mereka.

Katanya, membeli rumah perlu menjadi pilihan utama sebaik sahaja mendapat kerja tetap kerana tidak kira besar atau kecil, ia tetap aset berharga yang sukar untuk susut nilai.

"Namun ramai golongan muda hari ini lebih mengutamakan kereta daripada membeli rumah walaupun tahu ia aset yang susut nilai.

"Sedangkan semakin lama ditangguh, semakin banyak komitmen lain dan ia turut menjejaskan peluang mendapat pinjaman jika mahu membeli rumah kelak," katanya yang kini berazam mendapatkan rumah kedua pula untuk tujuan pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 6:48 AM