PROJEK Fasa 1 Starling di Bandar Rimbayu merangkumi 680 rumah dan kawasan hijau.
PROJEK Fasa 1 Starling di Bandar Rimbayu merangkumi 680 rumah dan kawasan hijau.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

MESKIPUN negara berdepan krisis pandemik global dan masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun orang ramai tetap tidak melepaskan peluang untuk memiliki hartanah kediaman.

Susulan pengumuman Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2020, inisiatif kerajaan untuk menyokong pembeli rumah dan menggalakkan pembelian hartanah, ramai yang mula mengintai kediaman sesuai untuk dimiliki selari kemampuan kewangan.

Apatah lagi pembeli rumah juga berpeluang menikmati potongan 10 peratus ke atas harga belian selain pengecualian duti setem bagi Memorandum Pindah Milik dan pinjaman.

Sebagai tambahan, pembeli juga layak menikmati yuran guaman percuma bagi kedua-dua Perjanjian Jual Beli dan pinjaman.

Antara projek pembangunan rumah yang menerima sambutan hangat daripada orang ramai adalah Fasa 1 Starling di perbandaran moden Bandar Rimbayu, Kota Kemuning, Telok Panglima Garang, Selangor.

Projek perumahan IJM Land itu laris dan habis terjual dalam tempoh 24 jam sahaja selepas ia dilancarkan.

RUANG keluarga yang luas.
RUANG keluarga yang luas.

Fasa 1 Starling adalah fasa pertama daripada empat fasa projek pembangunan perumahan di atas tapak seluas 22.93 hektar.

Ia merangkumi 680 rumah dan kawasan hijau, kemudahan lengkap serta ruang komuniti dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM500 juta.

Ketika pelancaran Fasa 1, lebih 500 pembeli rumah mendaftarkan diri untuk projek berkenaan yang membabitkan 125 rumah bertanah fleksi Jenis A dengan saiz tanah 20' x 60'.

Ia mempunyai keluasan binaan sebanyak 1,621 kaki persegi dan sesuai untuk didiami anda yang berkeluarga.

Menerusi harga jualan bermula daripada RM656,800, rumah itu didatangkan dengan tiga bilik tidur dan tiga bilik air sesuai bagi keluarga muda yang inginkan gaya hidup moden serta berkualiti.

Rumah terbabit direka mengikut keperluan kontemporari moden, menampilkan gaya elegan dengan tona warna yang mengikut peredaran zaman.

KAWASAN dapur yang luas.
KAWASAN dapur yang luas.

KEDIAMAN dengan ruang privasi.
KEDIAMAN dengan ruang privasi.

Selain itu, ia turut menawarkan pelan susun atur terbuka bagi ruang tamu, ruang makan dan dapur.

Pengurus Besar Kanan Bandar Rimbayu, Chai Kian Soon berkata, penerimaan positif terhadap Fasa 1 Starling adalah kerana ia memenuhi kehendak pembeli rumah moden.

Kata Chai, pihaknya sentiasa berusaha untuk berfikir lebih jauh dan meramal gaya masa hadapan yang boleh meningkatkan kehidupan penduduk secara signifikan.

"Pada masa sama, kami turut menawarkan rumah mampu milik dan mempunyai nilai aset yang sangat berharga," katanya.

Kata Chai, sebagai sebuah projek pembangunan yang berpotensi meningkatkan gaya hidup penduduknya, Starling turut mengambil kira keperluan gaya hidup yang sentiasa berubah.

"Lebih penting, ia turut memenuhi keperluan golongan berkeluarga dalam menikmati saat-saat hidup mereka.

BILIK tidur kedua dan ketiga yang selesa.
BILIK tidur kedua dan ketiga yang selesa.

"Penduduk juga boleh mengadakan aktiviti santai dengan tenang dalam ruang tersendiri kerana mereka terpisah daripada pandangan jiran.

"Selain itu, rekaan seni bina rumah juga menyediakan aliran pengudaraan kondusif dan limpahan cahaya semula jadi yang menimbulkan rasa bebas dan tidak terkurung kepada penduduknya," katanya.

Dengan adanya normal baharu yang menggalakkan keluarga duduk di rumah, kemudahan sedia ada seperti jalur lebar berkelajuan tinggi menjadi sangat penting kepada penduduk untuk terus berhubung dengan dunia luar.

Bagi tujuan keselamatan, projek pembangunan berkenaan terletak dalam komuniti berpengawal dengan dua pintu masuk khas.

Ruang terbuka seluas 6.47 hektar dan laluan joging di antara kawasan kejiranan juga menggalakkan gaya hidup sihat.

PENGUNDIAN pemilihan unit secara langsung elak ketidaktelusan.
PENGUNDIAN pemilihan unit secara langsung elak ketidaktelusan.

Susulan kejayaan Fasa 1 habis dijual, Bandar Rimbayu mengendalikan sesi undian bagi pemilihan unit dengan cara yang unik.

Daripada lebih 500 pendaftar, 190 individu terpilih bagi pengundian secara langsung bagi mengelakkan berlaku ketidaktelusan.

Menurut Chai, projek berkenaan juga tidak terkecuali daripada senarai hartanah termasuk dalam HOC 2020.

"Ini adalah tahun yang mencabar bagi semua pihak, tetapi ia juga membuktikan bahawa sekarang gaya hidup masyarakat berubah dengan pantas disebabkan situasi luaran.

"Justeru, sebagai pemaju hartanah yang mempunyai visi, mereka bukan sahaja menyesuaikan diri, malah melaksanakan digitalisasi bagi menyediakan penyelesaian efisien dan selamat kepada penduduk serta pembeli rumah.," katanya.

SESI undian secara langsung di laman Facebook rasmi pada 7 Jun lalu.
SESI undian secara langsung di laman Facebook rasmi pada 7 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 7:00 AM