NOOR Syafina bersama kediaman dimilikinya sebelum berusia 30 tahun. FOTO Ihsan Noor Syafina Bukhari
NOOR Syafina bersama kediaman dimilikinya sebelum berusia 30 tahun. FOTO Ihsan Noor Syafina Bukhari
Hafiz Ithnin

PERTAMA kali penulis mengunjungi rumah wanita muda itu sememangnya terasa jauh dari ibu kota. Apatah lagi, kedudukannya sedikit terperosok dari bangunan kediaman yang lain.

Meskipun ramai memilih untuk kediaman berhampiran dengan tempat kerja atau di tengah-tengah ibu kota, tetapi tidak bagi Noor Syafina Bukhari ketika memutuskan untuk memiliki kediaman itu pada 2015.

Baginya menjauhi kesesakan lalu lintas berhampiran rumah dan keadaan senyap menjadi keutamaan biar pun terpaksa berulang alik dari kediaman ke tempat kerja hampir sejam setiap hari. Selain perlu menempuh kesesakan lalu lintas sebaik masuk ke ibu kota.

Katanya, antara elemen lain yang menjadi perhatian ketika membeli kediaman terletak di Puchong, Selangor itu pastinya mengenai keselamatan yang tidak mudah diakses orang luar.

"Sebelum membeli rumah ini, saya membuat tinjauan terlebih dahulu mengenai persekitarannya dari segi kejiranan, kemudahan pengangkutan dan paling utama ciri-ciri keselamatan.

"Saya melihat kebanyakan orang yang tinggal di kawasan ini adalah berkeluarga dan bukan warga asing atau pelajar. Jadi, di situ menjadi tarikan kerana rasa selesa dari segi persekitarannya," katanya.

RUANG makan ringkas menjadi pilihan. FOTO Ihsan Noor Syafina Bukhari
RUANG makan ringkas menjadi pilihan. FOTO Ihsan Noor Syafina Bukhari

Memasuki kediaman miliknya juga bukan mudah kerana terdapat empat lapisan ciri-ciri keselamatan yang perlu dilalui pemilik dan tetamu antaranya di lobi utama, lif dan ke parkir.

Jelasnya, ciri-ciri keselamatan yang terdapat di kediamannya menjadikan persekitaran penduduk lebih eksklusif dan paling utama tidak terdedah dengan aktiviti menceroboh.

Noor Syafina berkata, kediamannya berkeluasan 1,055 kaki persegi yang dibeli pada harga RM563,000. Proses untuk membeli kediaman juga tidak sukar, malah mudah mendapatkan pembiayaan 90 peratus daripada pihak bank memandangkan dia mempunyai pengurusan aliran tunai yang baik.

Jelasnya, lebih menarik ketika proses membeli kediaman itu dia mendapat tawaran rebat 10 peratus daripada pihak pemaju sekali gus dapat menjimatkan wang untuk pembayaran 10 peratus deposit pembelian.

"Ketika membeli kediaman ini, usia saya baru 27 tahun dan sebenarnya apabila membeli pada usia sebelum 30 tahun lebih mudah pihak bank menawarkan komitmen bayaran bulanan lebih rendah.

"Jadi, saya merebut peluang itu dan ketika itu juga pihak pemaju menawarkan pelbagai promosi menarik termasuk pemberian rebat tunai RM20,000 yang menjadi modal untuk membeli kelengkapan rumah," katanya yang membayar RM2,500 setiap bulan kepada pihak bank.

Malah, Noor Syafina juga memaklumkan dia tidak perlu membuat renovasi kediaman kerana ia sudah lengkap termasuk memiliki set kabinet dapur.

"Saya berasa amat beruntung membeli kediaman ini kerana menjimatkan pembeli rumah pertama seperti saya daripada mengeluarkan modal yang besar untuk memiliki sebuah kediaman.

"Ciri-ciri seperti kabinet dapur dan pemberian pendingin hawa juga disediakan pihak pemaju juga antara elemen menjadi tarikan untuk saya menjimatkan wang bagi tujuan berbelanja sebelum masuk ke rumah ini," katanya.

Lebih menarik katanya, dia juga mendapat dua unit parkir kenderaan yang memberi kemudahan kepadanya dan tetamu.

"Bagi saya untuk membeli rumah pertama perkara paling penting ialah memahami kehendak persekitaran, pengurusan kewangan, nilai pulangan yang ditawarkan pemaju dan paling utama pastinya tidak mengetepikan soal keselamatan.

"Selain itu, faktor tidak selalu ke pejabat dan banyak bekerja luar juga menjadikan saya tidak kisah untuk memiliki kediaman jauh darinya," katanya.

s

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 7:00 AM