GAYA mewah yang menepati cita rasa hari ini.
GAYA mewah yang menepati cita rasa hari ini.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


ELEMEN ringkas dan praktikal sudah lama menguasai trend gaya hidup di seluruh dunia, tidak terkecuali di bandar Seremban 2, Negeri Sembilan.

Terletak 60 kilometer dari Kuala Lumpur, terdapat projek perumahan terbaharu daripada pemaju tersohor, IJM Land iaitu Rimbun Impian yang akan mendefinisikan semula konsep kontemporari menerusi hiasan dalamannya.

Projek perbandaran itu secara rasmi melancarkan rumah contoh terbaharunya yang menonjolkan kemasan premium, susun atur praktikal dan ruang tamu yang bergaya.

Rimbun Impian dikelilingi persekitaran yang damai dan menghijau selain menawarkan 345 kediaman terdiri daripada jenis A dan jenis B.

Jenis A mempunyai dua keluasan tanah berbeza iaitu 22’x78’ dan 22’x75’ bermula daripada 2,586 kaki persegi manakala jenis B dibina dengan keluasan tanah lebih besar iaitu 24’x75’ dari 2,820 kaki persegi.

Pengurus Besar Kanan (Wilayah Tengah) IJM Land, Datuk Hoo Kim See berkata, sebagai pemaju hartanah yang diyakini dalam menyediakan kediaman yang praktikal dan moden kepada penghuninya, IJM Land sentiasa berusaha untuk menggandakan usaha bagi memenuhi impian setiap bakal pemiliknya.

BILIK tidur yang selesa.
BILIK tidur yang selesa.

Kata beliau, dengan pelancaran projek perumahan terbaharu Rimbun Impian, pihaknya tekad untuk membawa sentuhan yang lebih segar kepada konsep kontemporari dan mencipta semula ruang berkenaan.

Katanya, IJM Land mengambil kira banyak aspek untuk menjadikan reka bentuk projek itu bukan sahaja tampak lebih bergaya, malah pada masa sama praktikal.

“Elemen itu termasuk penggunaan warna, rekaan kreatif, penggunaan ruang yang maksimum dan susun atur perabot memandangkan ia karya seni, bukan sekadar objek hiasan.

“Ini kerana kami mahu mencipta ruang bukan sahaja moden, bergaya dan selesa, tetapi pada masa sama menjadikan ia praktikal untuk penghuninya,” katanya.

Menurut Hoo, selain hiasan dalaman yang indah, perumahan itu turut dilengkapi ciri-ciri sistem rumah pintar untuk melengkapkan lagi gaya hidup moden dan futuristik keluarga di Rimbun Impian.

Ciri-ciri itu jelas beliau termasuk penyelarasan fungsi alat kawalan jauh untuk lampu, pendingin hawa dan sensor pintu yang pasti memudahkan kehidupan harian sekeluarga.

RUANG makan kediaman jenis A.
RUANG makan kediaman jenis A.

DAPUR yang luas untuk rumah jenis A.
DAPUR yang luas untuk rumah jenis A.

“Tambahan pula, setiap unit turut dipasang dengan kunci pintu digital yang sudah pastinya memudahkan penghuni rumah dengan hanya menggunakan sama ada kad kekunci, kunci mekanikal atau kod PIN, sekali gus mengurangkan kerumitan menggunakan kunci cara lama,” katanya.

Sementara itu, Seremban 2 juga terkenal sebagai sebuah perbandaran lengkap dengan kemudahan moden, selesa, terancang dan dibina untuk menampung kehidupan masa hadapan dengan mengekalkan kedamaian alam semula jadi.

Pemilik juga akan menikmati kemudahan asas hanya selangkah dari kediaman seperti pusat komersial, bank, hotel, pasar raya utama antaranya AEON, Mydin, Pasar Raya Besar Tesco, NSK Trade City dan Palm Mall serta pelbagai kemudahan lain termasuk panggung wayang untuk berlibur.

Dari segi pendidikan pula, kawasan perbandaran itu turut dilengkapi lima sekolah kebangsaan, dua sekolah rendah jenis kebangsaan (Cina), dua kolej dan sebuah sekolah antarabangsa.

Untuk perhubungan, pemilik tidak perlu risau kerana kawasan perbandaran berada di lokasi strategik berhampiran Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) yang menyediakan akses yang lebih mudah dan cepat ke Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan Melaka.

Selain itu akses laluan bebas tol yang menghubungkan bandar itu secara langsung dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), sekali gus membuktikan penghuni di Seremban 2 mampu menikmati segala kemudahan di dalam satu perbandaran.

REKAAN bilik tidur moden untuk kediaman jenis B.
REKAAN bilik tidur moden untuk kediaman jenis B.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 7:01 AM