Sri Ayu Kartika Amri


BERDASARKAN permintaan pasaran yang masih memerlukan rumah mampu milik, pemaju hartanah tempatan, Ehsan Plant & Property Sdn Bhd akan terus memberi tumpuan kepada projek perumahan seumpama itu tahun depan di Nilai, Negeri Sembilan dan Sungai Petani, Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hamid PV Abdu berkata, permintaan bagi rumah mampu milik sentiasa ada, oleh itu pihaknya komited dalam memenuhi impian mereka yang ingin memiliki kediaman sendiri.

Katanya, sebagai pemaju tempatan, Ehsan Plant & Property sebelum ini juga banyak memberi fokus kepada projek perumahan mampu milik di lokasi strategik di luar Lembah Klang.

“Kami memainkan peranan penting dalam menyediakan rumah yang mampu dimiliki di samping memenuhi kehendak pembeli rumah terutama golongan B40.

“Bagi tahun depan (tahun ini), kami memperuntukkan kira-kira RM328 juta nilai pembangunan kasar (GDV) untuk projek perumahan di Nilai dan Sungai Petani,” katanya kepada P&P yang ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, untuk projek perumahan di Nilai, Ehsan Plant & Property akan membangunkan apartmen servis 30 tingkat dengan GDV sebanyak RM210 juta.

Abdul Hamid berkata, projek yang dinamakan sebagai Nilai Tower itu mempunyai dua menara dan menawarkan sebanyak 488 unit kediaman.

“Nilai Tower dibangunkan di atas tanah seluas 1.012 hektar di lokasi strategik di tengah-tengah bandar Nilai dan berdekatan pusat beli-belah AEON.

“Projek ini akan mula dibangunkan pada suku kedua 2020 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

“Unit contoh pula akan dilancarkan pada Februari 2020 dan unit kediaman yang dibina pula bermula dari saiz 750 hingga 1,000 kaki persegi serta ditawarkan pada harga bawah RM300,000,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi projek di Sungai Petani pula, syarikat merancang membangunkan rumah teres setingkat, semi-D dan unit banglo.

“GDV projek di Sungai Petani ini bernilai RM118 juta dan kami merancang membina kira-kira 530 unit membabitkan unit teres, semi-D serta banglo di tanah berkeluasan 1.862 hektar.

“Unit kediaman di Sungai Petani ini juga dikategorikan sebagai mampu milik yang harga bagi rumah teres ditawarkan bermula RM179,000, semi-D (RM258,000) manakala unit banglo RM350,000 ke atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 6:10 AM