CHOW (kanan) bersama Penolong Pengurus Besar StarProperty, Ernest Towle melancarkan laman sesawang Didian Property Marketplace.
CHOW (kanan) bersama Penolong Pengurus Besar StarProperty, Ernest Towle melancarkan laman sesawang Didian Property Marketplace.
Sofyan Rizal Ishak

DIDIAN Realtor Sdn Bhd (Didian), firma teknologi hartanah terbaharu menyasarkan menarik penyertaan seramai 1,000 ejen dan perunding hartanah melalui pasaran hartanah dalam taliannya, Didian dalam tempoh dua bulan akan datang.

Didian adalah pasaran hartanah perniagaan ke perniagaan (B2B) pertama di negara ini yang bertujuan membantu pemaju, ejen dan perunding hartanah berhubung serta memacu jualan hartanah untuk unit projek dalam pembinaan atau hampir siap.

Pengarahnya, Chow Nam Kit berkata, pada masa ini terdapat sembilan projek yang membabitkan kira-kira 1,800 unit hartanah pelbagai jenis daripada lapan pemaju terkemuka ditawarkan melalui pasaran itu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion.

“Platform kami mendigitalkan proses jualan yang membolehkan ejen dan perunding untuk mendapatkan akses kepada tawaran produk terkini daripada pemaju dengan hanya menekan klik pada butang serta memudahkan dan mempercepatkan jualan hartanah dalam kalangan pemegang berkepentingan kami,” katanya pada media selepas pelancaran platform pasaran hartanah Didian di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pasaran hartanah Didian turut ditawarkan dalam versi aplikasi mudah alih itu beroperasi sejak 10 bulan lalu dan sehingga kini, ia disertai oleh 300 ejen dan perunding hartanah dengan lebih 80 daripadanya mencatatkan komisen RM4.5 juta dalam tempoh terbabit.

Platform buatan tempatan yang memanfaatkan algoritma untuk memperkasakan pa

saran hartanah pertama Malaysia itu menawarkan ciri seperti tempahan digital, akses data masa sebenar, pengesanan status komisten dan sokongan bagi proses pentadbiran bagi memberikan kemudahan kepada ejen dan perunding hartanah.

Chow berkata, pasaran itu juga menawarkan pembayaran skim komisen pantas selama tujuh hari daripada tarikh perjanjian jual beli (SPA) dan pembiayaan ditandatangani di samping turut memberi peluang kepada ejen dan perunding hartanah untuk menjual hartanah daripada projek yang dikendalikan pemaju terkemuka.

Menurutnya, mereka juga berpeluang mendapatkan ganjaran apabila berjaya memuktamadkan tempahan dan menjual unit hartanah.

“Untuk pemaju hartanah, platform ini berpeluang membantu mereka untuk menerokai potensi jualan daripada ejen dan perunding hartanah di seluruh negara bagi menjual hartanah masing-masing,” katanya.

Platform pasaran Didian menawarkan unit kediaman daripada projek utama dan membabitkan pelbagai jenis hartanah seperti rumah bertanah serta rumah bertingkat pada harga di bawah RM500,000 dan melebihi RM500,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 7:47 AM